Apa Itu MURNInet?
MURNInet adalah singkatan kepada Malaysian Urban Indicators Network atau Jaringan Petunjuk-Petunjuk Bandar Malaysia. Ianya merupakan satu pendekatan bagi mengukur dan menilai kemampanan bandar-bandar di Malaysia.
Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia (JPBD SM) telah membentuk satu set Petunjuk-Petunjuk Bandar bagi mengukur standard kualiti hidup minimum yang perlu dicapai oleh setiap bandar dalam negara.
Gerbang MURNInet
Gerbang MURNInet disediakan untuk menyokong pelaksanaan Program Petunjuk Bandar Malaysia dalam pembentukan, perolehan, pengolehan, penganalisaan, penghasilan dan perkongsian maklumat mengenai petunjuk bandar.
Ianya merupakan satu kemudahan infostruktur yang menyepadukan aplikasi, data dan prosedur bertujuan untuk membantu dalam perancangan pembangunan bandar mampan di Malaysia. Ianya juga menyediakan maklumat dan kemudahan atau aplikasi yang berupaya untuk menganalisis keadaan semasa, menyediakan tren yang berguna untuk memantau perubahan yang berlaku secara temporal dan memberi gambaran senario-senario pembangunan bandar-bandar Malaysia dan pencapaian tahap kemampanannya.
Gerbang ini menyediakan pelbagai modul secara bersepadu untuk membantu pelbagai pihak terutamanya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam membuat pengumpulan data, pengukuran, penganalisaan dan pengujian serta membuat keputusan di peringkat perancangan bandar.
Matlamat MURNInet
Matlamat kajian ini ialah untuk melaksanakan petunjuk-petunjuk bandar mampan bagi mengukur dan menilai tahap pencapaian kualiti sebuah bandar.
Objektif MURNInet
1. Menentukan tahap kemampanan setiap bandar dalam negara berdasarkan Petunjuk Bandar Malaysia;
2. Mengenalpasti kekuatan dan kelemahan setiap bandar mengikut petunjuk;
3. Mencadangkan peluang-peluang penambahbaikan bagi mencapai tahap mampan; dan
4. Menjadikan MURNInet sebagai alat mengukur bagi pelbagai peranan termasuk pentadbiran dan teknikal seperti membantu pembentukan objektif politik, pernglibatan awam dan pemantauan pelaksanaan pelan tindakan.
Bandar Mampan
Terdapat definisi yang berbeza mengenai bandar mampan, namun satu tema yang dikongsi bersama adalah alam sekitar, masa hadapan dan kesaksamaan.
Bandar mampan mengikut definisi United Nations Centre For Human Settlements (HABITAT) dalam Program Bandar Mampan adalah 'Bandar Yang Mampu Mengekalkan Pencapaian Dalam Pembangunan Sosial, Ekonomi Dan Fizikal Untuk Selama-lamanya'. Manakala definisi yang dikemukakan oleh Research Triangle Institute (RTI) ialah 'Wilayah Metropolitan yang boleh bersaing dengan jayanya di peringkat global tetapi masih boleh mengekalkan keunggulan budaya dan alam sekitarnya'.
Bandar mampan adalah bandar yang berupaya menyediakan keperluan asas penduduk bandar seperti infrastruktur, kemudahan masyarakat, kesihatan dan penjagaan kesihatan, perumahan, pendidikan, pengangkutan pekerjaan, tadbir urus yang baik dan memastikan keperluan dipenuhi serta menguntungkan semua sektor masyarakat.
Konsep Pembangunan Bandar Mampan
Di Malaysia, konsep bandar mampan dilihat bukan sahaja dari perspektif bandar mampan pada peringkat antarabangsa tetapi disesuaikan dengan Prinsip-prinsip Perancangan dan Pembangunan Sejagat secara menyeluruh yang telah diterima pakai oleh JPBD (Garis Panduan Perancangan dan Pembangunan Sejagat [Edisi Kedua] JPBD Bil 4/2000). Garis Panduan ini menyarankan agar perancangan pembangunan (termasuk bandar) haruslah juga mempunyai ciri-ciri adil dan saksama, ihsan, aman dan selamat, menghormati ilmu dan sentiasa mengingati Pencipta serta bersih dan cantik.
Untuk mencapai tahap bandar mampan khususnya dan negara maju menjelang 2020 amnya, tahap kemampanan sesuatu petempatan hendaklah sentiasa diukur dan dipertingkatkan supaya kualiti hidup penduduk tempatan dapat dipertingkatkan pada setiap masa.